Tuesday, 30 April 2013

Masa Depan Golongan Pekerja Lebih Terjamin Dibawah Pakatan Rakyat


P.140 Segamat (13th General Election on May 5, 2013)
46,262 (20,093/43.43% Malays; 21,393/46.24% Chinese; 4,641/10.03% Indians)
Vote for Change, for our children’s future
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Masa Depan Golongan Pekerja Lebih Terjamin Dibawah Pakatan Rakyat

Sempena Hari Pekerja pada tahun ini, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pekerja di seluruh Malaysia di atas sumbangan ke arah ekonomi negara dan usaha anda dalam membina sebuah negara yang baik. Negara ini menjadi makmur hasil daripada titik peluh golongan pekerja yang tidak kenal erti penat bagi menyediakan masa depan lebih baik kepada anak cucu kita di masa depan.

Negara ini terhutang budi dan mengiktiraf pengorbanan anda memacu negara hingga ke aras pada hari ini, dan kerajaan Pakatan Rakyat akan memastikan segala usaha anda memberikan pulangan yang setimpal.

Kami akan memperbaiki polisi amalan kerajaan UMNO-BN yang lebih banyak memihak kepada syarikat gergasi berbanding para pekerja mereka.

Kami akan menukar pindaan yang dibuat oleh pemimpin UMNO-BN terhadap Akta Pekerja 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang membenarkan campurtangan pihak ketiga dalam perhubungan di antara majikan dengan pekerja, di mana pihak majikan tidak dipertanggungjawabkan sekiranya memberhentikan pekerja secara tidak adil atau secara tidak sepatutnya. Kami menerima laporan bahawa ada pekerja diberhentikan kerana terlibat  dalam aktiviti kesatuan sekerja.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah pindaan ini, Gabungan Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) membantah pindaan ini dan Pakatan Rakyat juga mengambil pendirian membantah pindaan ini.

Pakatan Rakyat amat yakin bahawa kemakmuran negara ini bergantung pada kesejahteraan golongan pekerja. Kami menyediakan suasana lebih adil dan telus yang akan memberi faedah kepada golongan pekerja dan majikan, serta menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan keuntungan kepada semua. Kami akan menarik balik polisi yang mencipta suasana pertelingkahan dalam kalangan pekerja dan menggantikannya dengan polisi yang memupuk perkongsian pintar antara kesatuan sekerja, pekerja dan majikan.

Bagi menjamin jaringan keselamatan sosial bagi pekerja sektor perladangan dan keluarga mereka, kami akan menubuhkan Dana Komoditi Nasional dengan RM100 juta sebagai modal permulaan bertujuan membantu mereka yang tekesan akibat kejatuhan mendadak harga komoditi dengan menyumbang sebanyak RM500 sebulan melalui skim Bantuan Komoditi Nasional.

Saya menggesa agar anda mengkaji polisi kami dan membandingkan dengan polisi rakus kerajaan UMNO-BN terhadap golongan pekerja.

Oleh itu, pada pagi 5 Mei 2013, empat hari selepas Hari Pekerja, saya menyeru golongan pekerja dalam negara ini mengambil peluang untuk keluar mengundi sebuah kerajaan yang dapat menjamin kesejahteraan dan  menjaga kepentingan golongan pekerja.
INI KALILAH! UBAH!

DATO’ CHUA JUI MENG
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
Pengerusi PKR Johor
Calon P.140 Segamat